Ramaikan ‘Firdaus Imtiaz’

NAJIB TUN RAZAK menerima resolusi konvensyen daripada Hassan Said

SHAH ALAM 10 Nov. - Perdana Menteri mahu lebih ramai ‘Firdaus Imtiaz’ dapat dibentuk supaya gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk melahirkan pemain global yang boleh membangunkan sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera tanpa meminggirkan kaum-kaum lain tercapai.

Merujuk kepada sebuah video animasi yang ditayangkan semasa Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, watak utama tersebut me­rupakan contoh bagaimana TN50 mampu melahirkan generasi muda yang cemerlang dalam tempoh 30 tahun akan datang bagi meningkatkan martabat bangsa dan negara.

“Tadi saya tengok video animasi tentang Firdaus Imtiaz. Wataknya kita lihat adalah visi akan datang iaitu TN50. Kita tengok bahawa itulah impian kita 30 tahun akan datang.

“Kenapa saya usahakan TN50? Sebab saya nak dari bawah (akar umbi) dibuat secara konsensus nasional supaya semua kepen­tingan kaum diambil kira tapi induknya mestilah orang Melayu dan bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika penutupan Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup; Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Sallehuddin Mohamed dan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said.

Video bertajuk Firdaus 2050 berdurasi empat minit cetusan idea Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga hadir dalam majlis itu menceritakan tentang kejayaan seorang anak muda Melayu bernama Firdaus Imtiaz, berusia 30-an, bera­sal dari Terengganu.

Hasil kesungguhannya sejak dari kecil dalam tahfiz al-Quran, seterusnya menjadi pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), beliau kemudian melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Insead, Perancis dan doktor falsafah (PhD) di Harvard University, Amerika Syarikat.

Beliau kemudian berjaya menjadi tokoh perniagaan terkemuka dunia yang memiliki kekayaan dan rangkaian perniagaan di pe­ringkat global.

Walau bagaimanapun, Firdaus Imtiaz tetap kekal menjalani kehidupan seharian secara sederhana dan berpegang teguh kepada agama Islam serta adat Melayu.

Sementara itu, konvensyen ber­temakan Menyingkap Perju­a­ngan Bangsa tersebut merupakan julung kali diadakan dan dianjurkan bersama oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM serta Institut Pemikiran dan Ke­pimpinan Melayu (Impak).

Berlangsung selama tiga hari, konvensyen itu menghimpunkan ilmuwan, pemimpin, pemikir dan tokoh korporat bagi berkongsi pengalaman serta pengetahuan merentasi pelbagai arena disiplin.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli merasmikan konvensyen tersebut Selasa lalu.

https://m.utusan.com.my/berita/nasional/ramaikan-8216-firdaus-imtiaz-8217-1.406208

PrintEmail